Apa itu Zika?
Zika ialah penyakit yang disebabkan oleh virus Zika. Virus Zika dibawa oleh nyamuk Aedes, iaitu nyamuk yang juga menyebarkan denggi dan chikungunya.Walau bagaimanapun, tidak seperti denggi dan chikungunya yang hanya boleh tersebar melalui nyamuk, Zika juga boleh dijangkiti melalui hubungan seks tanpa perlindungan dengan seseorang yang telah dijangkiti. Maka seorang suami yang menghidap Zika boleh menjangkitkan penyakit ini kepada isterinya.
Pakar-pakar juga percaya ada kemungkinan besar Zika boleh dijangkiti melalui pemindahan darah, namun lebih banyak kajian diperlukan.
Zika tidak boleh tersebar melalui sentuhan biasa dengan orang yang telah dijangkiti.
Adakah benar Zika boleh menyebabkan kecacatan pada bayi dalam kandungan?
Ya. Virus Zika boleh meningkatkan risiko bayi dalam kandungan dilahirkan dengan kepala yang kecil (mikrosefali) atau kecacatan semasa lahir yang lain. Risiko mikrosefali didapati paling tinggi apabila jangkitan virus Zika berlaku dalam trimester pertama atau trimester kedua kehamilan, tetapi kita tidak pasti sama ada peringkat-peringkat kehamilan yang lain adalah betul-betul bebas daripada kecacatan yang dikaitkan dengan penyakit ini.Walau bagaimanapun, tidak semua wanita hamil yang menghidap Zika akan melahirkan bayi dengan mikrosefali. Para saintis masih lagi membuat kajian mengapa sesetengah bayi terjejas dan sesetengah yang lain tidak.
Di Brazil, iaitu negara yang telah mengalami penyebaran serius penyakit ini, wanita-wanita yang menghidap Zika dan mereka yang tinggal di kawasan di mana terdapat banyak kes Zika berlaku sedang dipantau rapi oleh doktor-doktor. Imbasan ultrasound sepanjang kehamilan digunakan untuk memantau saiz kepala bayi.
Apakah simptom-simptom Zika?
Zika boleh mengambil sehingga 12 hari untuk muncul selepas seseorang itu terkena gigitan. Simptom-simptomnya adalah ringan, tetapi boleh termasuk yang berikut:- ruam
- gatal-gatal
- demam
- konjunktivitis (mata merah)
- sakit di belakang mata
- sakit kepala
- sakit-sakit otot
- sakit belakang pinggang
- sakit sendi atau keradangan
Simptom-simptom ini berlangsung selama dua hingga tujuh hari.
Jika anda sedang hamil dan anda nampak ada bintik-bintik merah pada badan anda, jumpalah doktor. Ujian darah akan memberitahu doktor sama ada itu adalah Zika ataupun penyakit lain.
Bagaimanakah Zika dirawat?
Tiada rawatan untuk Zika, tetapi mengambil paracetamol dan meminum banyak air boleh membantu meredakan simptom-simptomnya. Ibuprofen tidak digalakkan, dan dalam sebarang kes ia tidak dipercayai selamat digunakan semasa hamil. Secara umumnya, kebanyakan pesakit Zika akan sembuh sendiri.Anda berkemungkinan besar akan menerima rawatan untuk meredakan simptom-simptom Zika, memandangkan tiada penawar untuk penyakit ini.
Minum banyak air dan banyakkan berehat.
Tanyalah doktor anda mengenai ubat anti keradangan tanpa steroid untuk melegakan kesakitan dan antihistamin untuk melegakan kegatalan. Jangan sesekali ambil sebarang ubat tanpa nasihat doktor.
Bagaimana saya boleh tahu sekiranya saya menghidap Zika?
Doktor anda akan mengesahkan dengan ujian darah, untuk mengenal pasti sama ada anda menghidap Zika atau penyakit lain seperti denggi, sitomegalovirus ataupun chikungunya.Tidak mustahil juga bagi seseorang itu menghidap zika dan denggi pada masa yang sama.
Kegatalan teruk pada badan juga boleh jadi tanda bagi komplikasi kehamilan yang berkaitan dengan hati, atau ia boleh jadi tanda alahan. Oleh sebab itulah penting bagi anda meminta nasihat doktor jika anda mempunyai simptom-simptom ini.
Setelah menghidap Zika, adakah saya akan lali terhadapnya sepanjang hayat?
Ya. Sebaik sahaja anda menghidap Zika, anda akan lali terhadapnya sepanjang hayat.Walau bagaimanapun, anda masih boleh menghidap penyakit-penyakit bawaan nyamuk yang lain termasuklah chikungunya dan empat jenis denggi.
Setakat ini, para saintis telah mengesan satu sahaja jenis virus Zika. Jika satu lagi jenis Zika dijumpai, anda mungkin tidak lali terhadap jenis yang kedua ini.
Bagaimanakah saya boleh melindungi diri daripada Zika?
Setakat ini, tiada vaksin untuk Zika. Kaedah pencegahan utama ialah dengan menghapuskan nyamuk dan tempat-tempat pembiakannya terutamanya pada musim tengkujuh.Sesetengah doktor menasihatkan wanita hamil untuk mengambil langkah berjaga-jaga tambahan, seperti tidur di bawah kelambu dan memasangkan penghawa dingin di dalam bilik tidur atau rumah, untuk mengurangkan keperluan untuk membuka tingkap dan pintu untuk pengudaraan.
Baca lebih lanjut tentang:
- bagaimana penghalau nyamuk berfungsi;
- menggunakan minyak pati untuk menghalau nyamuk;
- penghalau nyamuk yang selamat bagi bayi;
- lingkaran nyamuk dan penghalau nyamuk elektrik;
- 7 cara melindungi diri daripada nyamuk.
Adakah penyusuan badan selamat jika menghidap Zika?
Ya. Organisasi Kesihatan Dunia menyarankan supaya ibu-ibu terus memberi bayi mereka susu badan kerana faedah-faedah penyusuan badan melebihi risikonya. Walaupun virus Zika telah ditemui dalam susu badan, pakar-pakar berkata bahawa tiada bukti yang menunjukkan bayi dijangkiti virus Zika melalui susu badan.Namun tentulah, seorang ibu yang dijangkiti Zika atau berisiko menghidap Zika akan berfikir untuk berhenti menyusu badan. Adalah sukar untuk mengetahui apa yang perlu dibuat. Jika anda bimbang mengenai penyusuan badan, bincanglah dengan doktor anda dan pertimbangkan apa yang beliau anggap jalan terbaik bagi anda dan bayi anda.
Satu lagi perkara penting yang anda boleh lakukan ialah menjauhkan nyamuk dari rumah anda. Cara yang paling biasa bagi virus Zika ini disebarkan ialah melalui gigitan nyamuk.
cc : http://www.babycenter.com.my/a25017905/zika-semasa-hamil#ixzz4K6JTxuc9
No comments:
Post a Comment